ZURICH: Kekayaan yang dimiliki oleh jutawan dunia meningkat sekitar 17 peratus dalam setahun lalu, dengan keuntungan besar dalam kalangan golongan maha kaya di Amerika Syarikat mengimbangi penurunan di China, menurut bank Switzerland UBS, hari ini.
Laporan UBS Billionaire Ambitions untuk 2024 menyatakan bahawa jumlah keseluruhan bilionair meningkat kepada 2,682 orang daripada 2,544 orang tahun sebelumnya.
Sementara itu, nilai kekayaan mereka meningkat kepada $14 trilion (RM61.9 trilion) daripada $12 trilion (RM53.3 trilion).
Pada 2015, jumlah keseluruhan kekayaan mereka adalah $6.3 trilion (RM27.8 trilion).
Menurut Bank Dunia, populasi global adalah lebih 8 bilion tahun lalu, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sekitar $105.4 trilion (RM473 trilion), menunjukkan betapa banyak kekayaan terkumpul dalam sebahagian kecil manusia.
Kebanyakan bilionair baru tahun ini adalah hasil usaha sendiri.
Laporan bank untuk tahun lalu menunjukkan bilionair baru memperoleh lebih banyak kekayaan melalui warisan berbanding keusahawanan.
Laporan terkini, berdasarkan tinjauan terhadap golongan bilionair antara Jun hingga September serta data kekayaan golongan maha kaya, menunjukkan bahawa risiko konflik geopolitik dan inflasi adalah kebimbangan utama mereka.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa Amerika Utara dilihat sebagai wilayah yang menawarkan pulangan pelaburan terbaik untuk tahun depan.
Di Amerika Syarikat, jumlah bilionair meningkat kepada 835 orang daripada 751 orang, diterajui oleh tokoh industri dan teknologi dengan jumlah kekayaan mereka meningkat kepada $5.8 trilion (RM25.67 trilion) daripada $4.6 trilion (RM20.36 trilion).
Di tanah besar China, jumlah bilionair menurun kepada 427 orang daripada 520 orang dan kekayaan mereka berkurang kepada $1.4 trilion (RM6.19 trilion) daripada $1.8 trilion (RM7.9 trilion).
Pada 2021, terdapat 626 bilionair di tanah besar China dengan jumlah kekayaan melebihi $2.5 trilion (RM11.06 trilion), menurut angka UBS sebelum ini.
Ketua pelanggan strategik di Pengurusan Kekayaan Global UBS, Benjamin Cavalli, berkata penurunan berkenaan mencerminkan kerugian dalam pasaran hartanah dan kejatuhan nilai firma yang dimiliki oleh beberapa individu terkaya di China di tengah-tengah prospek ekonomi yang kurang pasti.
Jumlah jutawan di India turut meningkat lebih satu perlima tahun lalu kepada 185 orang, manakala kekayaan mereka bertambah lebih 40 peratus kepada hampir $906 bilion (RM4.01 trilion), menurut UBS.
Di Eropah Barat, Switzerland mengatasi Britain untuk menjadi negara dengan jumlah bilionair kedua tertinggi selepas Jerman, dengan peningkatan 10 bilionair kepada 85 orang.
Perancis dengan 46 orang (dengan pertambahan 12 individu), Jerman dengan 117 orang ( bertambah laoan orang), Itali dengan 62 orang (bertambah enam orang), dan Sepanyol dengan 27 orang (bertambah tiga).
Negara yang menunjukkan pengurangan jumlah jutawan Britain berkurangan seorang kepada 82, kata UBS. Kekayaan gabungan bilionair Perancis adalah yang tertinggi dalam kalangan negara Eropah
0 Comments