Kena Penjara 21 Hari Gara-Gara Bedak Talkum Disangka Dadah

 

Buenos Aires: Lelaki Argentina terpaksa meringkuk dalam penjara selama 21 hari akibat polis tersalah sangka bedak talkum yang ditemui bersamanya disangkakan dadah.

Polis menyangka 18 botol bedak talkum sebagai kokain sebelum mengambil masa tiga minggu untuk menganalisis bahan itu.

Episod hitam menimpa Maximiliano Acosta pada awal Oktober lalu apabila dia menaiki bas di bandar Mendoza menuju ke ibu negara, Buenos Aires.

Bas itu dihentikan di La Paz untuk pemeriksaan rutin sepasukan anggota tentera.

Selepas memeriksa bagasi penumpang, pasukan keselamatan mendapati, Acosta mempunyai 18 botol bedak talkum dan menyoal siasatnya.

Acosta menjelaskan, botol itu sebenarnya mengandungi bedak talkum untuk kegunaan peribadi, namun pihak berkuasa menahannya kerana disyaki memiliki dadah.

Dia dimasukkan ke penjara tanpa memberitahu keluarganya tentang keadaannya.

"Hasil pemeriksaan pegawai mengesan seorang warganegara membawa bekas bedak talkum untuk kebersihan diri dalam barang-barangnya," kata Gendarmerie (Pasukan Tentera yang diberi tugas polis untuk menjaga ketenteraman awam) dalam satu kenyataan pada 2 Oktober, sambil menambah sejumlah dua kilogram dan 444 gram kokain dirampas dalam operasi itu.

Penemuan itu menjadi kejutan besar sehingga Menteri Keselamatan Argentina, Patricia Bullrich, menyiarkannya di media sosial.

Berikutan bantahan daripada Acosta, serbuk putih itu dihantar ke makmal lain untuk ujian pengesahan, namun dia dipenjarakan 21 hari sehingga keputusan kedua dikeluarkan.

Ternyata bedak putih itu adalah bedak talkum biasa dan dia dilepaskan.

Seorang jurucakap Gendarmerie memberitahu media bahawa penahanan Acosta adalah satu kesilapan.

Mengenai mengapa Acosta mengembara dengan 18 bekas bedak talkum, ibunya memberitahu media Argentina anaknya itu membeli bahan itu untuk dijual semula di ibu negara.

Post a Comment

0 Comments