Seorang penyanyi jalanan bertindak di luar kawalan apabila menikam seorang lelaki di Kaliwungu, Kebupaten Kendal, Indonesia pada Isnin lalu.
Menurut portal Tribun News, suspek dilapor menikam perut mangsa dengan menggunakan pisau belati di hadapan orang awam dan kejadian berkenaan turut menjadi tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kaliwungu, AKP Edi Sukamto Nyoto yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa sedang membeli makanan haiwan bersama isterinya di salah sebuah kedai di sekitar ibu pejabat Korps Brigade Mobile (BRIMOB).
Ditikam gara-gara batuk terlalu kuat, suspek sudah berjaya ditahan
Mangsa kemudiannya batuk dengan kuat sewaktu lalu di tepi suspek. Merasa terganggu dengan batukan tersebut, suspek sempat bertengkar dengan mangsa sebelum menikamnya secara tiba-tiba.
Mangsa yang cedera selepas ditikam dan berada dalam kesakitan kemudian menjerit meminta pertolongan, sekaligus menarik perhatian orang ramai.
Beberapa individu segera menangkap suspek yang cuba melarikan diri selepas kejadian terbabit. Manakala, mangsa pula dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk menerima rawatan.
Rupa-rupanya berpunca daripada salah faham
Menurut Sukamto, siasatan awal yang dilakukan pihaknya mendapati tindakan berkenaan berpunca daripada salah faham.
Suspek dikatakan menyangka mangsa mengejeknya dengan batukan tersebut, membuatkan dia merasa tersinggung.
“Kini suspek ditahan untuk siasatan lanjut bersama barang bukti iaitu sebilah pisau dan sebuah gitar,”tambah Sukamto. - siakapkeli
0 Comments