Dijemput Ajal, Tak Sempat Makan Malam

 

Nilai: Penunggang motosikal berusia 21 tahun maut selepas merempuh pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 291.1 (S), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini, 9.40 malam tadi.

Seorang lagi rakan mangsa yang menunggang motosikal lain cedera selepas terjatuh ketika cuba mengelak kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pemandu pacuan empat roda dan anaknya cedera ringan akibat turut dilanggar.

"Kemalangan membabitkan dua motosikal jenis Yamaha yang ditunggang dua lelaki berumur 21 dan 30-an dengan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 50-an.

"Pacuan empat roda itu turut dinaiki isterinya yang berumur 50-an dan seorang anak lelaki berusia 30-an," katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemandu pacuan empat roda itu berhenti di lorong kecemasan kerana kenderaannya mengalami masalah enjin.

"Penunggang motosikal terbabit gagal mengelak lalu melanggar bucu kanan belakang kenderaan itu sebelum terlanggar pemandu serta anaknya yang berada di luar kenderaan terbabit.

"Motosikal kedua cuba mengelak namun hilang kawalan lalu terjatuh," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua penunggang motosikal adalah rakan sekerja dan sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan ke Senawang untuk menikmati juadah makan malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - hmetro

Post a Comment

0 Comments