Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi, Bella Astillah sekali lagi menjadi tumpuan netizen apabila mereka dilihat seperti pasangan pengantin kerana segak berpakaian tradisional Melayu mendaki Gunung Kinabalu, semalam.
Menerusi hantaran di Instagram Bella berkongsi rasa teruja selepas berjaya menakluk puncak Gunung Kinabalu dengan berbusana tradisional, baju kurung.
Bella turut berkongsi mengenai rasa penat yang seolah-olah hilang selepas menyaksikan keindahan puncak gunung itu.
"Akinabalu sudah kami tawan. Alhamdulillah, kami berjaya, pakai baju raya mendaki Gunung Kinabalu. Jam 3 pagi mula mendaki.
"Pendakian yang penuh bermakna. Penatnya saya tak boleh nak ungkapkan dengan kata-kata.
"Tapi, bila tengok pemandangan, Masya-Allah, memang tidak ternilai. Cantik betul Akinabalu," tulisnya di Instagram.
Bella juga bergurau mengatakan Syed sebagai 'Ironman' kerana dilihat sungguh bertenaga sepanjang pendakian mereka.
Terdahulu, hubungan mereka menjadi perhatian apabila kerap memuat naik gambar dan video bersama di media sosial.
Sementara itu, ruangan komen hantaran itu mendapat pelbagai komen pujian dan doa untuk hubungan kedua-dua mereka. - hmetro
0 Comments